Monday, August 17, 2009

Serba Sedikit Latar Belakang Perguruan Allahyarham Hj Hamid Hj Hamzah (Pengasas Seni Silat Sendeng)

HJ ABDUL HAMID BIN HJ HAMZAH

Merupakan pengasas Seni Silat Sendeng. Telah mula mempelajari ilmu persilatan sekitar 1932 ketika berusia 5 tahun. Waktu itu beliau dibimbing oelh datuknya Hj Hassan bin Hj Mahat. Bersama datuknya beliau telah mempelajari pelbagai teknik sepak terajang silat, seni tari silat serta cara menggunakan senjata seperti keris, pedang, parang, tumbuk lada, tekpi, tembong, tongkat, tuas & kerambit.

Sepuluh tahun kemudian beliau memperluaskan ilmu kependekarannya dengan berguru melalui datuknya Hj Mohd Arif bin Shamsu. Beliau telah diperturunkan ilmu Sendeng 7 Hari atau Pukulan Tujuh Hari. Beliau telah diuji untuk bertempur jarak dekat dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang d ari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak oleh beliau dan Hj Mohd Arif mengakui bahawa Hj Abdul Hamid sememangnya layak menjadi guru silat yang handal.

Kemudian beliau telah memperluaskan ilmu kependekarannya dengan berguru pula dengan datuknyaHj Tamam Dagang yang terkenal dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah secara bersendirian. Beliau telah diajar pukulan atau buah sendeng. Beliau amat tegas dalam menurunkan ilmunya sehingga satu belebat yang diajar mengambil masa hingga 6 bulan lamanya.


Bagi memantapkan ilmu agama dan rohani dengan mendalami ilmu persilatan beliau telah berguru dengan Hj Mohd Salleh bin Abdul Karim atau lebih dikenali dengan gelaran Kiai Salleh atau Panglima Salleh atau dikenali juga sebagai Panglima Salleh Selempang Merah.

Sebelum diterima sebagai murid Hj Abdul Hamid telah diuji dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Selepas 6 bulan barulah beliau bertanya nama Hj Abdul hamid dan dipanggil untuk diperturunkan ilmu-ilmu keagamaan dan kebatinan. Hj Abdul Hamid berguru bersama Panglima Salleh lebih kurang 3 tahun lamanya.

Sebelum dikhatamkan Hj Abdul Hamid telah diuji kefahaman tauhidnya dengan disuruh beramal didalam gua untuk mendapatkan ilmu harimau jadian. Hj Abdul Hamid yang faham dengan ujian gurunya menolak dengan baik dan menyatakan lebih baik beliau beramal didalam masjid. Panglima Salleh yang gembira dengan jawapan itu terus menyatakan bahawa beliau sememangnya layak untuk dikhatamkan. Menurut adinda beliau Allahyarham Hj Ismail, Hj Hamid telah dikhatamkan di dalam kelambu oleh Panglima Salleh untuk mengelak dilihat oleh murid yang lain. hj Hamid telah menerima amalan 'Ayat Empat' dari Panglima Salleh yang terus diperturunkan kepada ahli Silat Sendeng yang benar-benar layak hingga ke hari ini.

Disamping minat mengembangkan ilmu persilatan, Hj Abdul Hamid juga cenderung dalam bidang masakan dan terkenal sebagai tukang masak yang handal. Selain dari itu beliau pernah di amanahkan menjadi Imam Masjid Jamek Bukit Kangkar Muar Johor dan juga sebagai Ketua Kampung.

Setelah hampir 58 tahun mengembangkan Seni Silat Sendeng untuk diwarisi oleh setiap anak watan Johor sebagai satu cara pengekalan kesinambungan warisan pusaka bangsa Johor, Hj Abdul Hamid telah kembali kerahmatullah dalam usia 63 tahun pada 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal 1410 Hijrah. Semoga rohnya dirahmati Allah...Al-Fatihah buat beliau.