Monday, August 17, 2009

Serba Sedikit Latar Belakang Perguruan Allahyarham Hj Hamid Hj Hamzah (Pengasas Seni Silat Sendeng)

HJ ABDUL HAMID BIN HJ HAMZAH

Merupakan pengasas Seni Silat Sendeng. Telah mula mempelajari ilmu persilatan sekitar 1932 ketika berusia 5 tahun. Waktu itu beliau dibimbing oelh datuknya Hj Hassan bin Hj Mahat. Bersama datuknya beliau telah mempelajari pelbagai teknik sepak terajang silat, seni tari silat serta cara menggunakan senjata seperti keris, pedang, parang, tumbuk lada, tekpi, tembong, tongkat, tuas & kerambit.

Sepuluh tahun kemudian beliau memperluaskan ilmu kependekarannya dengan berguru melalui datuknya Hj Mohd Arif bin Shamsu. Beliau telah diperturunkan ilmu Sendeng 7 Hari atau Pukulan Tujuh Hari. Beliau telah diuji untuk bertempur jarak dekat dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang d ari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak oleh beliau dan Hj Mohd Arif mengakui bahawa Hj Abdul Hamid sememangnya layak menjadi guru silat yang handal.

Kemudian beliau telah memperluaskan ilmu kependekarannya dengan berguru pula dengan datuknyaHj Tamam Dagang yang terkenal dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah secara bersendirian. Beliau telah diajar pukulan atau buah sendeng. Beliau amat tegas dalam menurunkan ilmunya sehingga satu belebat yang diajar mengambil masa hingga 6 bulan lamanya.


Bagi memantapkan ilmu agama dan rohani dengan mendalami ilmu persilatan beliau telah berguru dengan Hj Mohd Salleh bin Abdul Karim atau lebih dikenali dengan gelaran Kiai Salleh atau Panglima Salleh atau dikenali juga sebagai Panglima Salleh Selempang Merah.

Sebelum diterima sebagai murid Hj Abdul Hamid telah diuji dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Selepas 6 bulan barulah beliau bertanya nama Hj Abdul hamid dan dipanggil untuk diperturunkan ilmu-ilmu keagamaan dan kebatinan. Hj Abdul Hamid berguru bersama Panglima Salleh lebih kurang 3 tahun lamanya.

Sebelum dikhatamkan Hj Abdul Hamid telah diuji kefahaman tauhidnya dengan disuruh beramal didalam gua untuk mendapatkan ilmu harimau jadian. Hj Abdul Hamid yang faham dengan ujian gurunya menolak dengan baik dan menyatakan lebih baik beliau beramal didalam masjid. Panglima Salleh yang gembira dengan jawapan itu terus menyatakan bahawa beliau sememangnya layak untuk dikhatamkan. Menurut adinda beliau Allahyarham Hj Ismail, Hj Hamid telah dikhatamkan di dalam kelambu oleh Panglima Salleh untuk mengelak dilihat oleh murid yang lain. hj Hamid telah menerima amalan 'Ayat Empat' dari Panglima Salleh yang terus diperturunkan kepada ahli Silat Sendeng yang benar-benar layak hingga ke hari ini.

Disamping minat mengembangkan ilmu persilatan, Hj Abdul Hamid juga cenderung dalam bidang masakan dan terkenal sebagai tukang masak yang handal. Selain dari itu beliau pernah di amanahkan menjadi Imam Masjid Jamek Bukit Kangkar Muar Johor dan juga sebagai Ketua Kampung.

Setelah hampir 58 tahun mengembangkan Seni Silat Sendeng untuk diwarisi oleh setiap anak watan Johor sebagai satu cara pengekalan kesinambungan warisan pusaka bangsa Johor, Hj Abdul Hamid telah kembali kerahmatullah dalam usia 63 tahun pada 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal 1410 Hijrah. Semoga rohnya dirahmati Allah...Al-Fatihah buat beliau.

Monday, August 10, 2009


Silat Sendeng Malaysia

Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.

Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.

Pengertian Seni Silat Sendeng

Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.

Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -

SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.

SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.

SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.

'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.

'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.

Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.

Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".

Adab dan Tatacara

Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi ciri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.

Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.

Adab Belajar

Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-

"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "

"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."

"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."

"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."

Rukun Perguruan

Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-

  • Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
  • Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
  • Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
  • Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesama seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
  • Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.

Permainan Gendang Silat

Penggunaan bunyi-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.

Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-

  1. Gendang Rentak Inai
  2. Gendang Rentak Pahlawan
  3. Gendang Rentak Sendayung